SHAH ALAM – Pemberian tapak seluas 0.4 hektar dan pampasan berjumlah RM1.5 juta sebelum ini harus dipulangkan semula kepada pemaju (One City Development Sdn. Bhd.) dalam kes melibatkan Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya dekat sini.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ini sebagai langkah penyelesaian yang dicadangkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas dalam satu kenyataan semalam.
“Kerajaan negeri Selangor menyambut baik kenyataan Tommy berkenaan isu Kuil Seafield dan bersetuju dengan penyelesaian yang dicadangkan oleh beliau itu yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri berpandangan bahawa tapak tanah seluas satu ekar (0.4 hektar) dan wang pampasan berjumlah RM1.5 juta yang telah diberikan oleh pemaju haruslah dipulangkan semula sebagai sebahagian daripada penyelesaian yang dicadangkan oleh Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, media semalam melaporkan Tommy dipetik berkata, semua pihak yang terlibat dalam kekecohan melibatkan Kuil Sri Maha Mariamman di Selangor boleh mencapai penyelesaian yang baik.
Dalam kenyataan dikeluarkan, Tommy menjelaskan terdapat lima penyelesaian menyeluruh yang dicadangkan dan disokong beliau adalah termasuk One City Development Sdn. Bhd. akan memindah hak milik satu plot tanah seluas satu ekar (0.4 hektar) yang terletaknya kuil kepada satu amanah yang akan ditadbir oleh Mahkamah Tinggi.
“Selain itu, Peguam Negara, dalam menjalankan kuasanya sebagai penjaga kepentingan awam berkaitan amanah khairat, akan memohon kepada Mahkamah Tinggi, menurut Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956 untuk perintah membentuk amanah dan melantik pemegang-pemegang amanah bagi menguruskan amanah dan kuil.
“Mahkamah Tinggi akan diminta untuk melantik seorang penerima yang merupakan seseorang mempunyai reputasi baik, ternama dan berintegriti, boleh diterima oleh semua pihak bertelagah, sebagai seorang pegawai mahkamah untuk mengawal dan menjaga ke atas pemegang-pemegang amanah kuil serta tertakluk kepada pantauan mahkamah,” katanya.
Dua lagi cadangan yang dipersetujui adalah Mahkamah Tinggi akan diminta untuk memindahkan keempunyaan tanah yang diatasnya letaknya kuil itu kepada pemegang-pemegang amanah.
“Terakhir adalah bagi memastikan keadilan dan keberkecualian antara pelbagai kumpulan berhubung kuil, Peguam Negara berharap dapat direpresentasi dalam semua permohonan di Mahkamah Tinggi,” katanya. – K! ONLINE










