Rumah warisan 100 tahun - Utusan Malaysia

Rumah warisan 100 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR 16 Dis. – Biarpun telah banyak rumah di kampung berubah menjadi kediaman mo­den, namun masih ada yang me­ngekalkan ciri-ciri keasliannya.

Di Kampung Parit Haji Wahab di sini misalnya, terdapat sebuah rumah lama berusia 100 tahun ma­sih tersergam indah, justeru menarik perhatian kepada sesiapa yang mengunjunginya.

Ainah Yahya, 80, pemilik rumah berkenaan berkata, kediaman itu telah dibeli oleh suaminya, Omar Yahaya daripada penduduk tempatan sebelum ini, sekitar tahun 1960-an.

Ainah berkata, ketika itu, kampung tersebut masih ketinggalan dari segi pembangunan apabila tia­da bekalan elektrik dan air dengan sempurna kerana mereka masih menggunakan pelita mi­nyak gas serta menadah air hujan menggunakan tempayan atau mengambil air dari parit.

“Dahulu, rumah ini dibeli pa­­da harga sekitar RM200 ke RM300. Jadi, rumah ini merupakan satu warisan berharga yang tidak ternilai.

“Mak cik duduk rumah ini ber­sama-sama anak mak cik dan menantu. Mak cik yang menjaga rumah ini dengan membubuh mi­nyak bagi mengelak ia rosak daripada dimakan oleh anai-anai,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-ba­ru ini.

Keadaan rumah tersebut dilihat masih utuh termasuk di bahagian ruang tamu, beranda, pelantar, tangga, dinding dan lan­tai sementara atap zink yang reput, telah diganti.

Dinding luar dan tingkapnya menggunakan kayu kulim yang tahan lama sementara kelihatan ukiran awan larat yang dibuat oleh tukang rumah secara manual menggunakan pahat serta peralatan tradisional.

Sementara itu, seorang penduduk, Hadi Ramli, 75, berkata, rumah tersebut pernah menjadi tempat bermesyuarat, mengaji serta belajar silat kerana Allahyarham Omar merupakan ketua kampung tersebut pada tahun 1970-an merangkap imam masjid.

“Saya merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama arwah ketika itu.

“Rumah inilah kami anak-anak muda ketika itu mempelajari silat di mana arwah mengajarkan silat pada waktu malam,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pada setiap tahun, keluar­ga berkenaan menganjurkan kendu­ri arwah dan dia turut berbangga akan usaha mengekalkan keaslian rumah tersebut yang disifatkan ibarat mini muzium di kampung itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×