KUALA TERENGGANU 14 Dis. – Datuk Rosol Wahid yang merupakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu akhirnya mengesahkan bahawa beliau telah mengambil keputusan nekad untuk keluar UMNO berkuatkuasa hari ini.
Pada masa sama, bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu turut mengesahkan statusnya sebagai ahli Bebas, sambil menyatakan hasratnya untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya permohonan beliau diterima.
Beliau menjelaskan, tindakannya keluar UMNO adalah kerana keterpaksaan demi kepentingan serta kebaikan pengundi di kawasannya di Hulu Terengganu meskipun mengakui sedih dan berat hati dengan keputusan yang dibuatnya itu.
Malah, tegasnya, keputusan itu diambil adalah atas kerelaannya sendiri dan bukan paksaan atau desakan mana-mana pihak.
“Saya nekad ambil keputusan ini (tinggalkan UMNO) dan menjadi ahli Parlimen bebas bukan kerana dipaksa sebaliknya atas kerelaan saya setelah pelbagai kesulitan yang dihadapi.
“Ini berikutan tiada peruntukan disalurkan oleh kerajaan Pusat dan juga kerajaan negeri Terengganu,” katanya yang enggan mengulas lanjut sewaktu dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










