Roket Soyuz bergerak menuju ISS  - Utusan Malaysia

Roket Soyuz bergerak menuju ISS 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAIKONUR, Kazakhstan – Sebuah roket Soyuz membawa angkasawan Rusia, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada tiba di orbit Bumi hari ini selepas dilancarkan dari Kazakhstan dalam misi membawa manusia pertama sejak kegagalan pelancaran pada Oktober lalu.

Kosmonaut Rusia, Oleg Kononenko,  Anne McClain daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) serta angkasawan Agensi Angkasa Lepas Kanada, David Saint-Jacques berlepas untuk misi selama enam setengah bulan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Beberapa minit selepas roket mereka dilancarkan dari Kosmodrom Baikonur, agensi angkasa lepas Rusia, Roscomos mengumumkan kapsul yang membawa mereka ‘dilancarkan dengan jayanya’ ke orbit.

Pentadbir NASA, Jim Bridenstine turut mengesahkan di laman Twitter  bahawa semua kru itu selamat berada di orbit Bumi. Beliau mengucapkan terima kasih kepada pasukan AS serta Rusia kerana dedikasi mereka dalam menjayakan pelancaran tersebut.

Ia merupakan misi membawa manusia pertama untuk roket era Kesatuan Soviet itu sejak 11 Oktober lalu apabila sebuah roket Soyuz membawa kosmonaut Rusia, Aleksey Ovchinin dan angkasawan AS, Nick Hague gagal beberapa minit selepas pelancaran, memaksa mereka melakukan pendaratan kecemasan.

Kedua-dua angkasawan tersebut tidak cedera dalam kejadian itu, namun insiden berkenaan menimbulkan kebimbangan berhubung program roket Soyuz.

Soyuz merupakan satu-satunya kaedah untuk sampai ke ISS sejak AS menamatkan misi kapal angkasa Shuttle pada tahun 2011. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN