JOHOR BAHRU 3 Dis. – Ancaman dan risiko jangkitan HIV/AIDS masih lagi sukar dibendung kerana tingkah laku seperti melakukan seks bebas terus berleluasa dalam kalangan rakyat.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, contohnya sebanyak 3,347 kes baharu dilaporkan pada tahun lalu dan majoritinya mereka yang berusia antara 20 hingga 49 tahun.
“Justeru itu, usaha untuk mencegah dan memberikan rawatan bersesuaian perlu ditingkatkan bagi membendung (penularan jangkitan HIV/AIDs) secara berkesan.
“Ini selaras matlamat kementerian melihat pengurangan jangkitan baru HIV pada 2030 iaitu tidak melebihi 900 kes selain memastikan sekurang-kurangnya 95 peratus mereka yang hidup dengan HIV mengetahui status mereka dan menerima rawatan antiretroviral (ARV),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Kebangsaan 2008 di Kilang Bateri, Tampoi di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz.
Boon Chye berkata, akses rawatan kepada mereka bukan satu masalah kerana di klinik-klinik kesihatan ada rawatan-rawatan bersesuaian disediakan kerajaan.
“Saya rasa mungkin terdapat salah tanggapan dan juga yang enggan kerana penghidap HIV ini tidak mempunyai simptom.
“Oleh itu mereka fikir mereka sihat dan salah anggap, sebab itu masih terdapat mereka yang tidak mendapatkan rawatan,” katanya.
Dalam pada itu, kementeriannya menyokong usaha diambil oleh Majlis AIDS Malaysia (MAC) dalam memastikan penghidap HIV/AIDs yang bekerja dan telah mendapat rawatan tidak didiskriminasikan rakan sekerja mereka.
Sokongan itu berikutan pihaknya tahu mana-mana pesakit yang telah mendapatkan rawatan HIV/AIDs tidak memberi ancaman jangkitan kepada mereka yang berada di sekelilingnya.
“Dalam apa juga keadaan, pesakit HIV yang positif namun telah mendapatkan rawatan secara teknikal tidak memberi ancaman jangkitan kepada mereka yang lain. Jadi kita berharap perbuatan mendiskriminasikan mereka dihentikan,” katanya.










