Rekod ‘buruk’ Suparadi jejaskan imej PKR Kelantan? - Utusan Malaysia

Rekod ‘buruk’ Suparadi jejaskan imej PKR Kelantan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 20 Dis. – Sekumpulan akar umbi dari kesemua 14 cabang PKR di negeri ini membantah pelantikan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Noor sebagai Pengerusi PKR Kelantan yang baharu serta mendesak Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkaji semula perkara itu.

Wakil mereka yang juga Naib Ketua Cabang PKR Ketereh, Mohd. Sukirman Mustafa berkata, pelantikan bekas ahli UMNO itu yang pernah terpalit dengan dakwaan politik wang dan rasuah ketika bersama parti lamanya dikhuatiri memberi imej negatif kepada PKR Kelantan.


Rekod lampau Mohamad Suparadi itu kata beliau, jelas bertentangan dengan perjuangan PKR sebagai sebuah parti reformasi yang selama ini bersungguh-sungguh membanteras amalan ketirisan dan rasuah di negara ini.


“Kita menyedari isu ini mengakibatkan berlaku pergolakan dalam PKR Kelantan kerana pelantikan beliau tidak disenangi akar umbi. Ini bukan kerana peribadi beliau, tetapi kerana rekodnya dalam UMNO sebelum ini.


“Kami merayu kepada Datuk Seri Anwar supaya kaji semula pelantikan ini. Jika ada tokoh lain yang layak, maka diharap beliau buat pertimbangan baharu demi kebaikan PKR di Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar bersama lebih 50 ahli PKR, di sini hari ini.


Baru-baru ini, Ketua Cabang PKR Tanah Merah, Mohamad Suparadi diumumkan oleh Anwar sebagai Pengerusi PKR negeri yang baharu menggantikan Ab. Aziz Ab. Kadir, walaupun beliau hanya menjadi ahli PKR kurang setahun lalu.


Pelantikan itu mencetuskan kontroversi kerana selain usia beliau dalam PKR yang masih terlalu ‘muda’, Mohamad Suparadi juga didakwa pernah terpalit dengan dakwaan rasuah dan politik wang sehingga digantung tugas oleh parti lamanya.


Susulan itu, PKR Cabang Tanah Merah menghantar surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap Muhamad Suparadi serta Timbalannya, Mohd Hanuzi Zaharim.


Dalam pada itu, Mohd. Sukirman memberitahu, akar umbi yang membuat bantahan hari ini hadir secara sukarela kerana mahu memastikan PKR Kelantan diketuai oleh pemimpin yang benar-benar layak dipanggil reformis, bersih dari segala salah laku serta disenangi akar umbi.


Katanya, jika keadaan tidak berubah, mereka merancang menghantar memorandum bantahan kepada pucuk pimpinan parti.


“Bagaimanapun kami yakin Datuk Seri Anwar seorang berjiwa besar dan mendengar keluhan akar umbi. Kami bukan mahu membuat masalah, kami cuma bimbang isu ini menjadi semakin serius sehingga merosakkan PKR di Kelantan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×