Rantau Panjang mula ditenggelami air - Utusan Malaysia

Rantau Panjang mula ditenggelami air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Beberapa kampung di sekitar pinggir Sungai Golok sudah ditenggelami air sedalam 0.5 meter sejak semalam antaranya Jeram Perdah, Lancang, Bongo, Kelawar, Jejawi, Teresan dan Putat 7.

Setakat pukul 4 petang, laman sesawang infobanjir.water.gov.my melaporkan paras air di Sungai Golok sudah melepasi paras amaran iaitu pada 8.77 meter dan menghampiri paras bahaya 9 meter. Penduduk sekitar sungai berkenaan juga sedang bersiap sedia dan mula mengemas harta benda bagi menghadapi banjir.

Sementara itu di TERENGGANU, pusat pemindahan banjir di negeri itu membabitkan daerah Hulu Terengganu dan Dungun dibuka semula petang ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lt. Kol (PA) Che Adam Abdul Rahman berkata, bagi daerah Hulu Terengganu pusat pemindahan yang dibuka ialah di Kampung Sekayu, Pengkalan Ajal dan Masjid Kampung Cheting dengan didiami ke­seluruhan 117 orang daripada 31 keluarga sehingga pukul 6 petang ini.

Dungun pula, seramai 32 mangsa daripada tujuh keluarga kini ditempatkan di surau Kampung Besol Lama, Bukit Besi sejak ia dibuka pada pukul 1 petang tadi.

Terdahulu, empat pusat pemindahan banjir di Kemaman ditutup secara berperingkat mulai pagi ini iaitu di Balai Raya Padang Kemunting, Dewan Orang Ramai Teladas, Masjid Batu 16 Tebak dan Dewan Orang Ramai Batu 14.

Di PAHANG pula, banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah itu sejak kelmarin pulih sepenuhnya setakat petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Zainal Yusoff berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang yang menempatkan 77 mangsa daripada 19 keluarga menjadi pusat pemindahan sementara terakhir ditutup pada pukul 3 petang ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN