PUTRAJAYA 3 Dis.- Rakyat Malaysia kini lebih gemar memilih dan membaca maklumat ringkas, padat dan menarik yang berbentuk grafik dan multimedia.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Dr. Mohd. Ali Mohamad Nor berkata, maklumat-maklumat tersebut popular terutama di media sosial seperti melalui aplikasi Facebook, Twitter dan WhatsApp.
“Sehubungan itu, semua pihak termasuk kerajaan perlu juga lebih kreatif dalam membangunkan maklumat-maklumat itu dengan lebih menarik.
“Malah ia perlu menggunakan semua saluran komunikasi dengan lebih meluas seperti televisyen, radio, media sosial dan juga bahan-bahan penerbitan termasuk surat khabar,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Bengkel Pemerkasaan Pesanan Khidmat Awam (PKA), di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohd. Ali berkata, penyebaran pelbagai maklumat mengelirukan kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu ditangani dengan cekap dengan memastikan rakyat mendapat maklumat sahih.
Ujarnya, penyebaran maklumat itu perlu cepat melalui penggunaan bahasa yang ringkas dan infografik yang menarik.
“Salah satu kaedah ini menerusi PKA iaitu mesej ringkas kerajaan yang diolah menggunakan pelbagai teknik seperti multimedia, grafik, teks atau kombinasi semua teknik.
“Ia akan dihebahkan melalui saluran elektronik, network screen di tempat awam dan dalam pengangkutan awam serta media siber,” katanya.-UTUSAN ONLINE










