Rakan sekerja Adib rasa kehilangan - Utusan Malaysia

Rakan sekerja Adib rasa kehilangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH 18 Dis. – Rakan sekerja Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya antara yang merasai pemergian sahabat baiknya itu.

Muhamad Fadil Buari, 26, yang turut bertugas di BBP Subang Jaya pada malam kejadian menggambarkan Muhammad Adib seorang yang amat berdedikasi terhadap tugasnya sejak berkhidmat kira-kira empat tahun lalu.

Malah, apa yang lebih membuatkan Muhamad Fadil hiba apabila dia sudah memohon cuti untuk menghadiri majlis perkahwinan Muhammad Adib yang sepatutnya dilangsungkan pada hujung minggu ini.

“Tak sangka saya datang lebih awal ke kampung halamannya tetapi dalam suasana yang berbeza kerana hanya mampu mengiringi jenazah Allahyarham untuk dikebumikan.

“Kami sudah empat tahun kenal, pada malam kejadian kami sama-sama bertugas tetapi dalam kru yang berbeza, kru Allahyarham yang ditugaskan ke tempat kejadian manakala kru saya bersedia untuk tugasan lain,” katanya ketika ditemui di sini.

Pada malam sebelum kejadian, tambah Muhamad Fadil, dia tidak nampak sebarang perubahan terhadap Allahyarham yang memang seorang yang pendiam tetapi tidak lekang dengan senyuman.

“Dia cuma kelihatan sedikit riang apabila memikirkan tarikh perkahwinannya semakin dekat dan pernah beritahu bahawa tak sabar nak kahwin,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN