Pusat pergigian sebabkan kematian menantu Zahid didenda RM320,000 - Utusan Malaysia

Pusat pergigian sebabkan kematian menantu Zahid didenda RM320,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pusat pakar pergigian, Imperial Dental Specialist Centre Sdn. Bhd, didenda RM320,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah atas lima pertuduhan berhubung kematian menantu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi dua tahun lalu. 

Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin membuat keputusan terhadap pusat tersebut yang diwakili pengarah syarikatnya Dr. Wong Yen Lin selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap lima pertuduhan yang didakwa.

Dalam penghakimannya Harmi Thamri memberitahu hukuman denda yang diberikan adalah sebagai pengajaran kepada klinik pergigian itu dan pengamal perubatan lain agar lebih mematuhi standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mahkamah turut membenarkan jumlah denda itu dibayar secara berperingkat iaitu RM25,000 dibayar semalam manakala bakinya RM295,000 dibayar bermula 21 Januari hingga 28 Jun 2019 selain kos sebanyak RM5,000 yang perlu dibayar pada pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pertama, OKS didakwa sebagai pemegang lesen gagal memastikan pekerja klinik itu, Noor Azima Muhamad Nuwi, 27, berkelayakan untuk menjalankan prosedur radiologi ke atas Allahyarham Syed Alman Zain, 44.

Sementara itu, dalam pertuduhan kedua dan ketiga, pusat pergigian tersebut didakwa gagal menyimpan serta menyelenggarakan suatu daftar kakitangan selain tidak menyediakan oksigen sebagai perkhidmatan jagaan kecemasan.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, OKS didakwa gagal mengemukakan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya salinan semua rekod perubatan pesakit dan tidak mengambil langkah-langkah perlu untuk melindungi semua kakitangan profesional kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di klinik yang terletak di Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara pukul 6 petang hingga 9.05 malam, antara 26 Mei hingga 2 Jun 2016.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadia Zulkefli memohon mahkamah mengenakan berat kerana kes ini melibatkan nyawa dan menjadi tumpuan masyarakat.

“Walaupun pertama kali dituduh tetapi pusat pergigian ini telah berhadapan dengan lima pertuduhan. Ekoran sikap sambil lewa yang dilakukan telah menyebabkan nama buruk pada institusi klinik pergigian yang lain,” katanya.

Bagaimanapun OKS itu yang diwakili peguam P.Sreekant memohon mahkamah mengenakan hukuman denda ringan dengan sebab klinik tersebut telah banyak membuat penambahbaikan selepas kejadian itu.

Sepanjang perbicaraan bermula 6 Mac 2017 seramai 13 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Syed Alman Zain, suami kepada Datuk Nurulhidayah, anak sulung Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum disahkan meninggal dunia.  – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×