PTPTN melawat keluarga 6 wira bomba - Utusan Malaysia

PTPTN melawat keluarga 6 wira bomba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengadakan lawatan kepada waris enam anggota bomba Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Selangor yang terkorban ketika usaha mencari dan me­nyelamat seorang remaja di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, baru-baru ini.

Program lawatan prihatin itu merupakan antara satu program tanggungjawab social korporat (CSR) PTPTN yang juga disertai Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan.

Empat daripada mangsa terkorban adalah anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd. Fatah Hashim, 34; IzatulAkma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, danYahya Ali, 24.

Dua lagi, anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Pada 23 Disember lalu, Wan Saiful bersama-sama wakil pengurusan PTPTN telah me­ngadakan lawatan ke kediaman Muhammad Hifdzul Malik di Pasir Mas, Kelantan dengan menyerahkan sumbangan berjumlah RM5,000.00 dalam bentuk pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada ibu arwah, Wan Kamilah Wan Yaacob.

Sebelum ini, PTPTN telah membuat lawatan ke rumah ke­luarga empat orang anggota yang terlibat iaitu di Sungai Buloh, Selangor; Kulai, Johor; Mukah, Sarawak dan Semporna, Sabah.

Lawatan terakhir pula ke rumah Rosmaria Ab. Ramli iaitu isteri kepada arwah Izatul Akma dan menyampaikan sumba­ngan sebanyak RM5,000 kepada setiap tiga orang anak Allahyarham.

Menurut Wan Saiful, PTPTN turut merasa simpati dan me­ngucapkan takziah dengan tragedi menimpa enam wira bomba dalam kejadian itu dan menyifatkan mereka adalah wira negara yang mengorbankan nyawa demi menjalankan tugas.

Katanya, bagi merealisasikan hasrat untuk membantu keluarga yang terlibat ini, PTPTN be­kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membantu me­lancarkan urusan dan perjalanan ke setiap rumah keluarga yang terlibat.

“Melalui lawatan dan sumbangan ini, diharapkan dapat mengurangkan beban ditanggung keluarga terutama untuk pendidikan anak-anak mangsa di samping member semangat kepada keluarga mereka.

“Sehubungan itu, PTPTN berharap menerusi program CSR ini dapat mewujudkan hubu­ngan positif di antara masyarakat kerana kami sentiasa mengambil berat dan cakna untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, usaha itu menunjukkan PTPTN bukan hanya memberikan pinjaman dan menyediakan instrument simpanan pendidikan tetapi juga menjalankan tanggungjawab sosial korporat kepada golongan memerlukan.

Beliau juga menekankan setiap keluarga perlu mempunyai perancangan kewangan sebagai persediaan sekiranya berlaku apa-apa musibah yang tidak dijangka terutama melibatkan kewangan untuk tujuan pendidikan.

“Saya menyarankan produk simpanan PTPTN iaitu Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i dan SSPNi-Plus) menjadi pilihan masyarakat.

“Di samping itu, PTPTN kini sedang giat secara proaktif dalam usaha menjadikan segenap lapisan masyarakat Malaysia daripada pelbagai golongan membudayakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Usaha ini merupakan satu tindakan yang amat baik dan perlu disambut oleh masyarakat Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×