YANGON – Presiden Myanmar, Win Myint berkata semalam bahawa tahun ini membawa tuah kepada negeri Rakhine, wilayah yang dicemari keganasan dan menjadi pusat krisis Rohingya.
Lebih 720,000 penduduk minoriti Islam Rohingnya meninggalkan negeri di barat negara tersebut sejak Ogos 2017 selepas pihak tentera melancarkan ‘operasi pembersihan’.
Pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan, operasi yang diarahkan oleh barisan jeneral Myanmar itu sebagai penghapusan kaum atau genosid.
Seramai 120,000 lagi penduduk minoriti itu yang dibenci oleh etnik lain di Rakhine, terpaksa hidup di kem-kem pemerintah dalam keadaan daif dan kekurangan makanan.
Bagaimanapun, Win Myint memberikan gambaran realiti berbeza menerusi kenyataannya apabila beliau mengucapkan tahniah kepada ‘saudara’ daripada kalangan etnik berbeza sempena ulang tahun negeri Rakhine Ke-44 semalam.
“Ekoran tiada bencana alam yang menimpa, kita boleh katakan bahawa tahun 2018 merupakan tahun bertuah,” katanya dalam komentar yang disiarkan akhbar pemerintah Myanmar.
Rakhine yang merupakan salah sebuah negeri paling miskin di Myanmar juga terletak dalam zon perancangan ekonomi. Kata Win Myint, pemerintah kini berusaha membekalkan tenaga elektrik 24 jam sehari kepada beberapa kawasan perbandaran di Rakhine.
Beliau juga memuji perjanjian yang dimeterai antara Myanmar dan Bangladesh bagi menghantar pulang pelarian Rohingya dan perancangan yang dilakukan untuk menerima mereka.
Proses penghantaran pulang itu berulang kali tergendala dan sepatutnya bermula pada bulan lalu tetapi gagal ekoran tiada seorang pun pelarian Rohingya menerima tawaran penghantaran pulang itu tanpa jaminan perlindungan, hak kewarganegaraan daripada kerajaan Myanmar. – AFP










