PPSMI: Apabila pemuda berfikir seperti orang tua - Utusan Malaysia

PPSMI: Apabila pemuda berfikir seperti orang tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA bekas Presiden Indonesia, Sukarno kata beliau boleh goncang dunia dengan 10 pemuda, pastilah 10 pemuda itu bukan mereka yang berfikir seperti orang berumur 93 tahun.

Pemuda itu sifatnya progresif dan buah fikirannya segar. Kalau idea pun basi, jangankan dunia, reban ayam pun belum tentu tergoncang.

Sebab itu apabila membaca laporan akhbar tentang usul pengembalian program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) oleh perwakilan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) semalam, penulis menggeleng kecewa.

PPSMI sudah enam tahun disemadikan, jasadnya mungkin sudah hancur berulat, tiba-tiba datang usul mahu baca jampi menghidupkannya semula.

Tidak perlu diulang hujah menolak PPSMI. Ia sudah cukup mantap. Sudah berulang-ulang disebut dalam ucapan, diabadikan dalam kajian.

Kita semua setuju dengan masalah penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat negara ini yang lemah, terutamanya orang Melayu tetapi tidak ada idea lainkah?

Sudah 15 tahun sejak ia dilaksanakan secara terburu-buru dahulu namun sehingga kini, seolah-olah hanya PPSMI sahaja boleh buat orang Malaysia bijak bahasa Inggeris.

Mungkin Armada boleh cadangkan supaya pedagogi subjek Bahasa Inggeris dikaji semula atau pentaksirannya dirombak semula. Banyak lagi langkah lain yang boleh diambil.

Jika hanya mengitar semula idea Pengerusi mereka, ini bukan Armada, ini setaraf rakit buluh saja. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×