KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan seorang ahli perniagaan warga Malaysia di Bali, Indonesia atas kesalahan menyeludup dadah jenis ganja dan pil ekstasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai pada 8 Disember lalu.
Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Ali berkata, pihaknya telah berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mendapatkan maklumat mengenai penahanan suspek.
“Setakat ini, kita akan memberi masa kepada pihak berkuasa Indonesia untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu. Suspek telah ditahan di negara tersebut dan ia harus mengikuti undang-undang di sana.
“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, kita percaya dadah yang dirampas tersebut dipercayai untuk kegunaan suspek sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Menurut laporan sebuah portal berita Indonesia, Medcom.id, suspek, Izham Hakimi Hamdi, 40, ditahan selepas pegawai kastam menemui sebungkus rokok berisi 19 batang rokok mengandungi 14.76 gram ganja di dalam beg sandang yang dibawanya. – K! ONLINE










