JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup 46,500 paket rokok pelbagai jenama selain 2,639 botol dan 15,576 tin minuman keras dalam serbuan di sebuah rumah di Indahpura, Kulai dekat sini petang semalam.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, serbuan yang dilakukan pada pukul 3.45 petang itu berjaya merampas barangan seludup bernilai RM685,392.
“Selepas melakukan risikan dan intipan, pihak kita berjaya mengesan kegiatan sindiket menjadikan sebuah rumah kosong di kawasan kediaman mempunyai pengawal keselamatan sebagai stor simpanan rokok dan minuman keras tidak sah.
“Kita melakukan pemeriksaan ke atas rumah tidak berpenghuni itu dan menemui sejumlah 46,500 paket rokok seludup pebagai jenama selain 2,639 dan 15,576 tin minuman keras pelbagai jenis bernilai RM685,392,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Dua, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow.
Khon Chiang berkata, rokok dan minuman keras itu dipercayai diseludup dari negara jiran Indonesia untuk bekalan sempena musim perayaan.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957. – K! ONLINE










