KUALA LUMPUR 1 Dis. – Kerajaan Pakatan Harapan melancarkan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kemudahan itu yang akan bermula di Lembah Klang pada 1 Januari tahun depan turut akan diperluaskan ke negeri lain pada masa akan datang.
“Sebagai percubaan kita akan mula di Kuala Lumpur supaya kita dapat tahu sekiranya ada kelemahan untuk diperbetulkan.
“Ini yang menjadi pemikiran Pakatan Harapan untuk mengurangkan beban rakyat agar mereka boleh menikmati kehidupan lebih sempurna,” katanya pada majlis pelancaran pas My100 dan My50 di KL Sentral di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.
Dr. Mahathir berkata, pengenalan pas perjalanan itu juga sebagai inisiatif kerajaan ke arah mengalakkan budaya sistem transaksi tanpa wang (cashless society) yang antara lain dapat mengekang gejala rasuah.
“Cash ni selalunya rasuah tapi cashless susah kita nak sogok rasuah kerana setiap perjalanan akan direkod supaya kita dapat tahu siapa yang menerima dan memberi.
“Kalau rasuah berleluasa di negara kita, apa juga kerja akan jadi mahal sebab perlu bayar kepada pihak-pihak tertentu untuk meluluskan sesuatu permintaan,” katanya. – BERNAMA










