KUANTAN 3 Dis. – Program Kebajikan dan Khidmat Imigran (PKKI) anjuran Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) mendapat sambutan menggalakkan sejak dilancarkan Julai lalu.

Pengarah Pengurusan PKKI, Simon Ee Yoong Pin berkata, setiap hari, pasti ada warga asing yang mengunjungi pejabat Peka bagi menjadi peserta program berkenaan.
“Inisiatif dan kelebihan yang disediakan oleh Peka menerusi PKKI ternyata menarik minat warga asing untuk menyertai program ini.
“Medium ini secara langsung mengisi keperluan pada mereka (warga asing) dan mewujudkan pilihan yang lama dicari untuk mendapatkan kemudahan interaktif di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Yoong Pin berkata, Peka akan terus melakukan penambahbaikan dalam usaha memastikan PKKI dapat memberikan pembelaan sewajarnya kepada warga asing yang menyertainya.
Beliau berkata, PKKI merupakan program ‘talian hayat’ dengan mengambil beberapa pendekatan untuk membantu menangani masalah dan isu melibatkan warga asing di negara ini.
“Jadi, pekerja asing yang akan dan telah bekerja di negara ini dialu-alukan menyertai PKKI. Tiada sasaran ditetapkan Peka untuk berapa ramai warga asing menyertainya,” katanya.
Tambahnya, warga asing yang berminat dan memerlukan khidmat Peka boleh menghubungi talian 010-2999949 atau 010-2990909 bagi pertanyaan lanjut serta pendaftaran program berkenaan. – UTUSAN ONLINE










