KUALA LUMPUR 18 Dis. – Selepas sebelum ini mendakwa kecederaan Muhammad Adib akibat dilanggar oleh jentera Bomba, hari ini Badan Bertindak Selamatkan Kuil Mariamman menyeru pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci supaya pihak yang terlibat itu hingga menyebabkan kematian anggota bomba tersebut diambil tindakan.
Pengerusinya, S. W. Ramaji berkata, mereka yang menjadi dalang kepada tindakan yang meragut nyawa anggota bomba itu juga perlu diambil tindakan.
“Mereka perlu dihukum kerana tindakan mereka bukan sahaja meragut nyawa anggota tersebut, tetapi juga mengganggu perjuangan kami untuk mengekalkan lokasi kuil sekarang.
“Selain itu, kami juga merasa dukacita dengan berita kematian Muhammad Adib,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Badan Bertindak Selamatkan Kuil Mariamman Seafield, V. K. Regu berkata, keadaan di kuil setakat ini masih lagi aman dan berada dalam kawalan pihak polis.
Jelasnya, setakat ini terdapat kira-kira 40 anggota polis termasuk daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berada di kawasan kuil.
“Saya tidak menyokong sebarang aktiviti keganasan dan saya berharap kejadian yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman tidak akan berulang lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Sebelum ini pad 28 November lalu, V.K Ragu mendakwa, Muhammad Adib cedera akibat dilanggar ketika jentera bomba berundur daripada operasi pemadaman.
Pada satu sidang akhbar beliau berkata, Muhammad Adib berada di belakang jentera bomba dan bila jentera tersebut berundur dengan laju, dia tersepit di belakang antara jentera dan van bomba.
Malah Ragu turut mendakwa, pihaknya mempunyai bukti video rakaman tersebut dan menganggap insiden itu tidak melibatkan isu perkauman. – UTUSAN ONLINE










