SHAH ALAM – Persatuan Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berjaya mengumpul RM2,000 dalam perlawanan amal membantu bekas pemain bola sepak kebangsaan, Salahuddin Che Rose di Eco Ardence di Setia Alam di sini malam tadi.
Presidennya, Rezal Zambery berkata, sumbangan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban Salahuddin dalam menjalani rawatan penyakit jantungnya di Institut Jantung Negara (IJN).
“Kita akan terus membantu pemain seperti Salahuddin yang sedang diduga dengan masalah kesihatan dan kewangan.
“Selain itu, PFAM amat berharap dalam membina hubungan dengan semua bekas pemain bola sepak tempatan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan amal dan penyampaian sumbangan tersebut kepada Salahuddin di sini malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, PFAM menentang Pilihan Golazo yang turut disertai pemain seperti Safiq Rahim, Razman Roslan dan Nizaruddin Yusof.
Kisah Salahuddin yang juga bekas pemain skuad projek Olimipik 1992 sebelum ini dikatakan hidup bergelandangan sekitar ibu kota selepas tidak berkerja ekoran menghidap penyakit jantung sejak 2009 mendapat liputan meluas media.
Dalam pada itu, Salahuddin melahirkan rasa terharu terhadap keprihatinan dan sokongan daripada PFAM dan pemain lain yang sudi membantunya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada PFAM dan berharap semua pihak dalam membantu bekas pemain bola sepak kebangsaan yang mengalami nasib seperti saya,” katanya. – K! ONLINE










