SUNGAI PETANI 15 Dis. – Seorang perompak melepaskan dua das tembakan sebelum melarikan barangan kemas berjumlah kira-kira RM200,000 di sebuah premis di Jalan Ibrahim, di sini hari ini.
Tembakan itu walau bagaimanapun tidak mencederakan sesiapa.
Kejadian pukul 2.50 petang itu berlaku semasa terdapat enam orang di dalam premis itu yang terdiri daripada pemilik premis, pekerja dan dua orang pelanggan.
Suspek yang memakai topi keledar berpenutup penuh dikatakan terus meluru masuk dan memecahkan cermin kaunter pameran barang kemas dengan menggunakan tukul besi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, berdasarkan maklumat, pemilik premis cuba melawan sebelum suspek melepaskan dua das tembakan.
“Pemilik premis sempat mencucuk penjenayah itu dengan rotan dari ruang dalam kedai untuk menghalaunya tanpa menyedari terdapat pistol di pinggang suspek.
“Suspek kemudian telah melepaskan dua das tembakan ke arah pemilik kedai emas, namun tembakan tersasar,” katanya di sini.
Kata beliau, suspek seterusnya melarikan diri bersama seorang rakannya yang dipercayai telah menunggu dengan sebuah motosikal di luar kedai.
“Suspek mengambil masa kira-kira dua minit untuk melarikan barang kemas dari kedai emas ini,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian termasuk pasangan pelanggan yang ada di premis tadi agar tampil membantu polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE










