Perak teruskan projek pembangunan pentadbiran terdahulu - Utusan Malaysia

Perak teruskan projek pembangunan pentadbiran terdahulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 4 Dis. – Kerajaan negeri sedang berusaha untuk meneruskan apa jua projek-projek pembangunan yang telah diumumkan sebelum ini di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, yang penting, projek berkenaan perlu dipastikan mempunyai manfaat kepada rakyat selain dilaksanakan dengan harga setimpal.

“Benar, kita dapati banyak projek-projek yang ditangguhkan atau dihentikan terus. Dalam perkara itu, kerajaan negeri telah mengambil jalan berbincang dengan kerajaan Persekutuan agar seboleh-bolehnya diteruskan apa juga projek yang telah diumumkan oleh pentadbiran sebelum ini.

“Jadi, saya akan ulas dengan lebih lanjut dalam penggulungan saya nanti, namun secara ringkasnya, memang kita sedang berusaha untuk meneruskan apa jua projek-projek yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan tambahan Dr. Ko Chung Sen (DAP-Kepayang) yang bertanyakan tenting bajet kerajaan negeri dalam membangunkan daerah-daerah pada SIdang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan tambahan Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol), Ahmad Faizal mengakui terdapat kawasan yang tidak mendapat pembangunan seimbang berbanding kawasan lain di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau merasakan, peranan pegawai daerah khususnya amat penting dalam memastikan penyaluran maklumat untuk pembangunan di sesebuah kawasan.

“Pada masa sama, sidang dewan seperti inilah dapat digunakan oleh wakil rakyat untuk mengutarakan perkara-perkara penting supaya kerajaan dapat mengambil kira pembangunan yang perlu disegerakan di sesebuah kawasan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN