Perak bakal bina lapangan terbang baharu di selatan - Utusan Malaysia

Perak bakal bina lapangan terbang baharu di selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Lapangan terbang baharu Perak yang akan dibina di Seri Iskandar dekat sini seperti yang diwar-warkan kerajaan negeri yang ditadbir Barisan Nasional sebelum ini bakal ditukar ke lokasi lain di selatan negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri telah bersetuju untuk membina lapangan terbang baharu di suatu lokasi di selatan Perak yang lebih mudah diakses oleh pengguna berbanding di Seri Iskandar.

“Seperti yang kita maklum, kemajuan di negeri Perak berkembang dengan pantas dan kita sememangnya memerlukan satu lapangan terbang lain yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak.

“Kita telah fikirkan kawasan yang lebih sesuai di selatan dan mudah untuk diakses pengguna seperti berdekatan dengan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyambut ketibaan 166 penumpang pesawat pertama AirAsia Airbus A320 laluan Singapura-Ipoh yang mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

Menurut Ahmad Faizal, lokasi tepat lapangan terbang baharu itu akan diumumkan kelak.

“Kerajaan negeri telah memikirkan lokasi yang sesuai antaranya di Tapah, Behrang dan Tanjung Malim dan kemungkinan besar di daerah Muallim atau Batang Padang,” jelasnya.

Sementara itu, kerajaan negeri juga merancang untuk memanjangkan lagi landasan sedia ada LTSAS daripada dua kilometer (km) kepada 2.5 km agar lebih banyak pesawat terutamanya pesawat antarabangsa dapat mendarat di LTSAS.

“Kini, kapasiti terminal LTSAS ini hanya digunapakai kira-kira 50 peratus berbanding kapasitinya yang boleh menampung sehingga 500,000 pengguna setahun.

“Jadi, kita bercadang untuk memanjangkan lagi landasan dan menambah penerbangan selain membesarkan terminal sedia,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN