Penyokong disaran guna khidmat LRT, MRT untuk final Piala AFF Suzuki - Utusan Malaysia

Penyokong disaran guna khidmat LRT, MRT untuk final Piala AFF Suzuki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Orang ramai disaran menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) atau Transit Aliran Massa (MRT) untuk menyaksikan saingan pertama final Piala AFF Suzuki antara pasukan Malaysia dan Vietnam pada Selasa ini.

Menurut Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), waktu perkhidmatan LRT dan MRT akan dilanjutkan bersempena perlawanan berkenaan, yang dijangka dihadiri oleh lebih 80,000 orang penonton khususnya penyokong Harimau Malaya.

“Tempoh operasi perkhidmatan sistem LRT Laluan Sri Petaling, Ampang, LRT Laluan Kelana Jaya, dan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang dilanjutkan sehingga ke pukul 1 pagi pada 11 Disember 2018.

“Stesen LRT Bukit Jalil akan dibuka sehingga 1 pagi untuk para penumpang meneruskan perjalanan mereka ke stesen-stesen LRT dan MRT yang lain termasuk bertukar laluan di Stesen Masjid Jamek, Plaza Rakyat, Pasar Seni dan Maluri untuk bertukar laluan LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak 40,000 tiket yang dijual secara atas talian untuk perlawanan berkenaan telah terjual sekaligus menguatkan jangkaan bahawa jumlah kehadiran penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil lebih ramai berbanding perlawanan yang lepas.

“Selain itu, bagi menjamin keselesaan mereka yang akan hadir, mereka disarankan untuk menggunakan fasiliti ‘park n ride’ yang tersedia di stesen-stesen MRT dan LRT khususnya yang terdapat di sepanjang Laluan LRT Sri Petaling.

“Pihak kami harap para penyokong bola sepak dapat pergi dan balik dari Bukit Jalil dengan mudah, teratur, dan selamat,” katanya.

Malaysia akan menetang Vietnam selepas menundukkan juara bertahan Thailand dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat 2-2 secara agregat selepas kedua-dua perlawanan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN