KLANG 15 Dis. – Perbuatan jahat dua lelaki yang juga ‘kaki samun’ tidak bertahan lama apabila salah seorang daripadanya diberkas hanya selepas sejam mereka merompak semalam.
Dalam kejadian di Taman Kapar Ria di sini itu, suspek yang berusia 20-an ditahan anggota polis dari balai Kapar ketika mereka membuat rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, sewaktu dihampiri kedua-dua suspek cuba melarikan diri namun seorang daripadanya berjaya diberkas.
“Hasil pemeriksaan, kita menemukan sebatang besi tajam yang dipercayai digunakan sebagai alat untuk pecah rumah yang tersisip di pinggang suspek.
“Kita juga berjaya merampas wang tunai RM400, telefon bimbit, tiga bentuk subang dan dua cincin emas yang disimpan dalam poket seluar suspek,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Nurulhuda, soal-siat terhadap suspek kemudiannya membawa kepada lokasi simpanan barangan pecah rumah dilakukan mereka, yang terletak di Taman Klang Utara di sini.
Menurutnya, semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau.
“Suspek kini direman selama enam hari bermula semalam dengan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Usaha memburu seorang lagi rakan suspek sedang giat dilakukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










