Penjenayah bersenjatakan pistol samun kedai emas - Utusan Malaysia

Penjenayah bersenjatakan pistol samun kedai emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki bersenjatakan pistol melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM200,000 selepas bertindak menyamun sebuah kedai emas di Jalan Ibrahim di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, suspek yang memakai topi keledar berpenutup penuh meluru masuk ke dalam kedai tersebut dan memecahkan cermin kaunter pameran barang kemas.

Ketika kejadian terdapat empat pekerja termasuk pemilik premis serta sepasang pelanggan yang mana dua pelanggan terbabit sempat melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek memecahkan cermin kaunter dengan tukul besi sebelum mengambil sejumlah barang kemas.

“Pemilik premis sempat mencucuk penjenayah itu dengan rotan dari ruang dalam kedai untuk menghalaunya tanpa menyedari terdapat pistol di pinggang suspek.

“Suspek bagaimanapun terus mengambil barang kemas tersebut dan melepaskan dua das tembakan ke arah pemilik kedai emas, namun tembakan tersasar pada besi di dalam kedai berkenaan,” katanya di lokasi kejadian di sini hari ini.

Kata beliau, penjenayah itu kemudian melarikan diri bersama seorang lagi suspek yang dipercayai telah menunggu dengan sebuah motosikal di luar kedai.

“Penjenayah ini mengambil masa kira-kira dua minit untuk melarikan barang kemas dari kedai emas ini,” ujarnya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN