KUALA TERENGGANU 15 Dis. – Seorang pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Seri Nilam nyaris lemas ketika memukat ikan di Sungai Rengas, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa Muhammad Sawaluddin, 24, bagaimanapun sempat diselamatkan pihak bomba selepas kira-kira 30 minit berdepan detik cemas tersebut.
Muhammad berkata, ketika memukat ikan di sungai tersebut bot fiber dinaikinya tiba-tiba terbalik menyebabkan di jatuh ke dalam sungai.
Katanya, selepas terjatuh dia kemudian naik ke atas belakang bot yang terbalik itu dan cubaan memanggil orang awam berdekatan berjaya apabila mereka segera menghubungi bomba.
“Bot saya terbalik mungkin disebabkan pukat yang dihanyutkan tersekat pada tunggul kayu yang kita tidak nampak di bawah,” katanya yang pertama kali berdepan kejadian itu.
Sementara itu, pegawai operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Abdul Ghani Omar berkata, pihaknya dengan kekuatan 11 anggota dan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira pukul 9.54 pagi.
Katanya, tindakan pantas bomba di samping bantuan orang awam berjaya menyelamatkan mangsa yang ketika itu berada di atas bot terbalik.
“Saya ingin menasihatkan kepada orang awam terutama pemancing agar tidak melakukan aktiviti berkenaan buat masa ini memandangkan hujan yang berterusan dan berkemungkinan akan mendatangkan sebarang kecemasan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE










