KUALA LUMPUR 16 Dis. – Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying membuat kejutan dengan mengambil keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkuat kuasa 1 Januari ini.
Badan induk sukan badminton negara itu dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, mereka menerima keputusan itu selepas mengadakan perbincangan terperinci bersama semua pihak terlibat.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Peng Soon-Liu Ying di atas sumbangan besar mereka selama ini dalam memajukan acara beregu campuran di negara ini.
“Kami juga mengharapkan agar mereka terus berjaya pada masa akan datang,” kata kenyataan itu.
Antara kejayaan yang pernah dikecapi pasangan No.1 negara itu ialah pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 selain pelbagai kejuaraan di persada antarabangsa.-UTUSAN ONLINE










