Penduduk Kelantan dinasihat berwaspada hadapi banjir - Utusan Malaysia

Penduduk Kelantan dinasihat berwaspada hadapi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 6 Dis. – Penduduk Kelantan dinasihat supaya sentiasa bersedia dan berwaspada bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan melanda terutamanya mereka yang berada di kawasan berisiko banjir.


Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam kenyataannya berkata, seluruh penduduk negeri ini diharap tidak mengambil mudah terhadap setiap arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa terutamanya melibatkan arahan untuk berpindah.

Beliau berkata apabila arahan berpindah dikeluarkan, semua pihak hendaklah mengambil langkah segera untuk berpindah dan hendaklah dilaksanakan sebelum waktu maghrib. 


Menurutnya langkah segera itu (arahan berpindah) adalah bagi mengelakkan sebarang kesulitan dalam proses pemindahan.


“Melihat kepada keadaan cuaca dan hujan yang sentiasa turun dalam seminggu ini, saya berpesan kepada seluruh penduduk agar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

“Kebiasaannya setiap hujung tahun adalah musim tengkujuh di Kelantan. Penduduk perlu mengambil langkah berhati-hati pada musim tengkujuh,” katanya.


Dalam perkembangan sama, Ahmad Yakob berkata buat masa ini, semua pusat pemindahan sudah bersedia dan dilengkapi dengan segala keperluan.


Katanya pasukan petugas sukarelawan serta anggota penyelamat juga sudah berada dalam keadaan siap siaga menghadapi segala kemungkinan.


“Dalam kesempatan ini saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan supaya melakukan solat hajat dan berdoa agar negeri ini tidak dilanda banjir besar pada tahun ini. Semoga kita semua dapat menghadapi ujian pada musim tengkujuh ini dengan penuh kesabaran,” katanya. – BERNAMA



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN