Penduduk di kawasan berisiko banjir diminta waspada - Utusan Malaysia

Penduduk di kawasan berisiko banjir diminta waspada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG 20 Dis. – Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir di negeri ini dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ekoran fenomena air pasang besar yang diramalkan berlaku dua hari lagi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lt. Kol (PA) Che Adam Abdul Rahman berkata, fenomena itu dijangka berlarutan selama seminggu hingga 28 Disember ini.

“Jadi kita minta semua penduduk di kawasan berisiko banjir terutama di pinggir sungai, kawasan lembah dan berhampiràn tadahan hujan supaya bersiap siaga dengan perkembangan cuaca di tempat masing-masing.

“Semua penduduk perlu mengambil cakna untuk berpindah awal jika berlaku proses kenaikan air di kawasan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan barangan keperluan harian sumbangan City Coin Laundry Sdn. Bhd. kepada 12 keluarga mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Pasir Putih, dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong serta Ketua Komunikasi Korporat dan Jenama City Coin Laundry Sdn. Bhd., Mohd. Fazli Ab. Rahim.

Setakat pukul 6 petang ini, hanya 12 keluarga berkenaan yang masih ditempatkan di pusat pemindahan di negeri ini sejak dibuka pada Isnin lalu.

Di samping itu, Che Adam meminta penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa mengawal pergerakan anak-anak mereka dan jangan biarkan anak-anak bermain di kawasan yang boleh berlaku kemalangan seperti di kawasan air deras, parit, sungai, pantai dan sebagainya.

“Bagi pasukan keselamatan pula, kita akan sentiasa bersiap siaga untuk menjalankan tugas dengan membuat pemantauan di kawasan-kawasan berisiko,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×