KLUANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata, pemegang amanah bagi menguruskan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, akan dilantik dalam kalangan individu yang berwibawa.
Menurutnya, Peguam Negara, Tommy Thomas telah mengadakan perbincangan dengan semua peguam yang terlibat dalam kes kuil itu terutamanya pihak-pihak yang telah menfailkan tindakan di mahkamah.
“Isu ini sudah menjadi sangat serius dan perkara ini tidak boleh lagi dibiarkan kepada dua pihak yang bertentangan (pentadbir kuil dan pemaju).
“Jadi peguam negara menyatakan hasrat beliau di bawah Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956 (untuk melantik pemegang amanah bagi menguruskan amanah dan kuil itu) dan memandangkan ada tawaran daripada pemaju untuk serah kembali kepada kerajaan negeri, maka beliau (Thomas) akan guna kuasa beliau dengan persetujuan mahkamah untuk melantik pemegang amanah bagi mengendalikan pentadbiran kuil,” katanya.
Beliau yang ditemui pemberita selepas melawat beberapa perkampungan Orang Asli di sini hari ini bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada calon untuk dilantik sebagai pemegang amanah berkenaan. – Bernama










