KACHIN 3 Dis. – Angkatan bersenjata Myanmar yang sebelum ini dikenakan sekatan oleh Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu kerana terbabit dalam isu kekejaman di negeri Rakhine dengan lebih 700,000 etnik Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, dilaporkan kembali aktif.
Unit berkenaan yang dikenali sebagai Light Infantry Division (LID) Ke-33, cukup terkenal dengan kekejaman, kini menjalankan operasi serupa di negeri Kachin.
Menurut kebanyakan petugas bantuan tempatan, ke mana sahaja LID berada, mereka akan melakukan ‘penderaan’ hak asasi manusia.

Angkatan bersenjata itu adalah kumpulan yang sama melakukan kekejaman dan keganasan seksual serta menembak penduduk kampung yang melarikan diri di Rakhine pada Ogos dan September tahun lalu.
Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi sebelum ini didesak meletak jawatan ekoran kempen keganasan oleh junta tentera terhadap etnik minoriti Rohingya sejak setahun lalu.
“Taktik mereka di Rakhine adalah sama seperti dilakukan terhadap komuniti di Kachin. Sejarah operasi LID di kawasan itu adalah panjang dan berdarah,” kata pakar hak asasi manusia Myanmar, David Baulk.
Lapor al-Jazeera, sewaktu pertempuran tercetus antara tentera Myanmar dan Tentera Pembebasan Kachin (KIA) di Kachin pada April lalu, LID turut terbabit sama.
Ekoran pertempuran tersebut, sekumpulan penduduk kam- pung terpaksa bersembunyi di sebuah gereja di Myitkyina.
“Empat jet pejuang tentera terbang di Kachin dan terdengar bunyi tembakan.
“Tiga orang cedera manakala seorang maut. Kampung kami hanya ada 2,000 orang, kami semua bersahabat,” kata seorang penduduk, Phyo Su Lat.
Menurut Su Lat, mereka terpaksa bersembunyi dalam ladang sewaktu pertempuran tercetus.
“Kami membantu golongan muda, tua dan yang sakit. Setiap dua ke tiga hari kami berpindah-randah di dalam hutan. Kami membina khemah dan bersembunyi daripada tentera.
“Kami boleh mendengar pesawat dan tembakan, mesin serta dron mereka, siang dan malam. Kami sangat khuatir jika mereka berjaya menahan kami, wanita akan dirogol, lelaki diseksa dan dibunuh,” jelasnya.
Menurut seorang lagi penduduk, Nyunt Sein Moe, nasib mereka dikatakan paling teruk.
“Di sebuah bandar berhampiran, rakan-rakan saya dijadikan perisai manusia dan dipaksa menjadi tentera. Mereka dipaksa ikut tentera, apabila sampai di kawasan periuk api, mereka disuruh jalan dahulu,” katanya.










