KUALA LUMPUR 3 Dis. – Semua pemandu teksi perlu bersedia bersaing secara sihat susulan langkah kerajaan mewajibkan semua pemandu e-hailing mendaftar lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) seperti mereka.
Penasihat syarikat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, pemandu teksi juga perlu segera mengemas kini maklumat mereka ke dalam aplikasi mudah alih telefon pintar atau e-hailing bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.
“Saya menyeru kepada semua pemandu teksi agar mengemaskini maklumat peribadi dan perkhidmatan mereka kerana hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi sebelum berlakunya ‘perang’ pemasaran e-hailing dalam industri teksi.
“Setakat ini, sebanyak 70 peratus pemandu teksi sudah mendaftar dengan sistem tersebut dan sudah semestinya kaedah ini bagus bagi menjamin pemanduan yang berhemah, memupuk sikap rajin serta pelbagai strategi promosi boleh dilakukan dalam menarik pelanggan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Central di sini hari ini.
Minggu lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan langkah tersebut mulai 1 Januari 2019 tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana syarikat pengendali sistem tersebut.
Mengulas lanjut, Shamsubahrin berkata, caj perkhidmatan teksi melalui e-hailing akan bermula serendah RM3 dan setiap syarikat pengendali juga dilarang mengelirukan pengguna dengan kempen pemasaran tertentu.
“Contohnya, destinasi dari Kuala Lumpur ke KLIA melalui perkhidmatan Grab sebanyak RM65 manakala Grab Teksi dengan RM199.
“Sedangkan, kalau menggunakan teksi bermeter cajnya tiadak sampai RM130, jadi ini adalah contoh bentuk penipuan dan perkara ini akan dikawal selia. Malah, pihak kementerian juga memberi jaminan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat bukti kukuh mengenai manipulasi harga tersebut, “ jelasnya. -UTUSAN ONLINE










