SEREMBAN – Seramai 60 pemandu teksi di daerah ini menyertai perhimpunan Reformasi Teksi di Dataran Seremban pagi ini bagi meluahkan rasa kesal terhadap Kementerian Pengangkutan kerana didakwa gagal membela nasib mereka.
Wakil Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) Negeri Sembilan, Yahya Khamis berkata, perhimpunan Reformasi Teksi itu antara lain bertujuan menuntut kesamarataan antara perkhidmatan teksi dan syarikat e-hailing.
“Kami pernah meminta kerajaan melarang kenderaan persendirian daripada mengambil penumpang, tetapi kami terpaksa akur dengan keputusan kerajaan untuk membenarkan syarikat e-hailing terus beroperasi.
“Bagaimanapun, kami menuntut kesamarataan antara perkhidmatan syarikat e-hailing dan teksi. Ia termasuk pemeriksaan Puspakom dan harga tambang. Tambang syarikat e-hailing rendah kerana ditentukan oleh syarikat itu sendiri sedangkan harga tambang kami dikawal oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Yahya berkata, GTSM Negeri Sembilan meminta Kementerian Pengangkutan merombak peraturan berkaitan perkhidmatan syarikat e-hailing dan teksi supaya sama rata atau pihaknya akan menghantar petisyen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Istana Negara.
Seorang pemandu teksi yang mengambil bahagian dalam perhimpunan aman itu, Tamril Taslim, 60, mendakwa berasa tertipu kerana Pakatan Harapan (PH) pernah berjanji membantu pemandu teksi, tetapi kini mempertahankan perkhidmatan e-hailing, Grab.
Dakwa beliau, sejak perkhidmatan Grab wujud, sumber pendapatan pemandu teksi terjejas teruk sehingga ada yang cuma mampu memperoleh RM30 sehari berbanding lebih RM100 sehari sebelum ini.
“Sebilangan kami sudah berpuluh tahun menyara keluarga dengan memandu teksi. Sekarang mahu bayar permit RM180 pun susah. Harga minyak pun tidak turun,” katanya. – K! ONLINE










