PUTRAJAYA 30 Dis.- Dasar Agenda Bumiputera baharu yang direalisasikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dicadangkan untuk dinamakan Pelan Kemakmuran Bersama.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, pelan itu bukan merupakan agenda kaum, tetapi satu dasar nasional dan perlu dirangka dengan penglibatan semua pihak agar mendapat sokongan seluruh masyarakat.
Beliau menjelaskan, dalam merealisasikan agenda itu, pihaknya perlu mengadakan libat urus dengan badan ekonomi Melayu dan dewan perniagaan semua kaum serta pemain industri.
“Malah ia juga melibatkan ahli-ahli korporat, pakar ekonomi, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tentu sekali parti-parti Pakatan Harapan (PH).
“Bagi saya, inilah ideologi Bersatu dalam perjuangan kita memartabatkan kedudukan orang Melayu dan bumiputera. Kita tidak menyimpan prasangka terhadap kaum-kaum lain,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, agenda berkenaan akan menumpukan kepada usaha berterusan untuk meningkatkan pencapaian ekonomi Melayu dan bumiputera.
Katanya, ini termasuk peningkatan pendapatan isirumah, kemajuan dalam bidang kerjaya dan keusahawanan, kenaikan dalam kadar gaji dan nilai simpanan serta pemilikan aset.
Dalam masa sama, beliau menambah orang Melayu perlu yakin dengan potensi yang ada pada diri sendiri iaitu percaya mereka boleh bersaing, berdikari dan maju.
Ujarnya, orang Melayu dengan akhirnya boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama kaum-kaum lain.
“Apa yang ingin kita capai ialah keseimbangan, keadilan dan perpaduan, bukan kebencian, ketidakadilan dan permusuhan antara kaum,” katanya.
Katanya, Bersatu mahu orang Melayu maju dan semua kaum lain juga maju.
“Kita tidak akan merampas apa-apa hak daripada kaum lain untuk kita berjaya. Inilah ideologi Bersatu dalam perjuangan kita memartabatkan kedudukan orang Melayu dan bumiputera,” katanya.-UTUSAN ONLINE










