KOTA TINGGI 19 Dis. – Seorang pekerja ladang maut akibat diserang dan terkena tusukan gading gajah liar semasa bertugas di Ladang Felcra Dusun Panti Batu 18, Jalan Johor Mersing di sini semalam.
Dalam kejadian dilaporkan pada 6.40 petang semalam, mangsa Muhammad Ridwan Mohd Yasin, 26, yang cedera parah akibat serangan itu disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi di sini malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Nik Azaham Nik Aziz berkata, semasa kejadian, mangsa sedang melakukan tugas rondaan dan menghidupkan pelita di kawasan ladang tersebut.
“Tiba-tiba seekor gajah liar terus menyerang dan memijak mangsa. Ekoran serangan itu, mangsa mengalami cedera parah dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Tambahnya, mangsa dilaporkan turut mengalami pendarahan yang banyak di bahagian peha akibat terkena tusukan gading gajah.
Nik Azaham berkata, mangsa dilaporkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital pada pukul 7.15 malam. – UTUSAN ONLINE.










