KUALA KEDAH 18 Dis. – Pekarangan rumah keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, yang meninggal dunia malam tadi mula dipenuhi saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat handai.
Rata-rata mereka tiba di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini seawal pukul 7 pagi tadi selepas mendapat perkhabaran duka membabitkan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya itu.
Turut berada di pekarangan rumah keluarga Allahyarham adalah para pegawai dan anggota bomba yang turut membuat persediaan bagi menyambut ketibaan jenazah sambil dibantu penduduk setempat.

Muhammad Adib disahkan menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.41 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN) selepas tiga minggu bertarung nyawa akibat cedera parah setelah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu. – UTUSAN ONLINE










