KUALA LUMPUR 3 Dis. – Pemilihan pasukan baharu Majlis Peguam bagi sesi 2019/2020 menunjukkan peningkatan undian yang sangat ketara sekali gus membuktikan adanya penyatuan dalam kalangan peguam yang cukup jitu.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, jumlah undian tersebut kini telah meningkat kepada 30 peratus berbanding sebelum ini yang cuma mencapai sekitar 19 peratus sahaja.
“Pemilihan kali ini bukan sahaja menunjukkan terdapat lebih 2,000 undi yang telah diserahkan malah saya yakin akan ramai individu bakal tampil untuk membantu bagi menjayakan pemilihan Majlis Peguam 2019/2020.
“Walau bagaimanapun, saya belum boleh menamakan individu-individu terbabit dan terlalu awal untuk didedahkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
Terdahulu, Zainul Rijal pernah berkata, pusingan kedua pemilihan Majlis Peguam akan melibatkan promosi calon-calon dari Jawatankuasa Peguam Negeri-Negeri.
“Pusingan ketiga pula menjadi saat yang paling penting kerana ia melibatkan pengisian pelbagai jawatankuasa dalam Majlis Peguam,” katanya.
Dalam pada itu, peguam kanan, Adnan Seman berkata, isu semasa yang timbul dalam pemerintahan kerajaan baharu banyak menyedarkan peguam Melayu yang beragama Islam untuk bangkit mempertahankan kedaulatan negara.
“Kesedaran timbul apabila ada tangan ghaib seolah-olah sengaja mahu mengubah perlembagaan negara dan perkara itu secara tidak langsung membangkitkan kemarahan barisan peguam Melayu.
“Kerajaan Pakatan Harapan harus mengambil serius tentang perkara ini kerana pemilihan Majlis Peguam 2019/2020 menggambarkan juga petanda awal struktur Perlembagaan jangan sesekali cuba digugat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










