KOTA BHARU 5 Dis. – Sekurang-kurangnya 100,000 penyokong Pas negeri ini dijangka menghadiri perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) #DaulatHimpunan812 di ibu negara, Sabtu ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, perhimpunan yang bertujuan menyatakan pendirian dan rasa syukur rakyat di atas respons positif kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam isu ICERD diyakini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Katanya, Pas sendiri akan menggerakkan lebih 10,000 anggota Jabatan Amal parti itu dari seluruh negara bagi melancarkan lagi perjalanan program termasuk mengawal lalu lintas, memberi bantuan kecemasan kepada peserta serta membantu pihak berkuasa menjaga ketenteraman.
“Kita sasarkan 100,000 peserta dari Kelantan melibatkan penyokong Pas, manakala penyokong UMNO pula kita tidak tahu kerana ini merupakan urusan parti masing-masing.
“Para peserta ini ada yang pergi dengan bas, kereta dan pelbagai cara lagi. Ada yang ditaja, ada yang beli tiket sendiri. Ini inisiatif mereka sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Selepas mempengerusikan mesyuarat, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan cuti peristiwa sehari selepas perhimpunan, iaitu pada 9 Disember bagi memberi lebih ruang kepada rakyat yang terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk menyertai program tersebut.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar menasihatkan ahli Pas supaya menjaga adab serta patuh pada arahan pihak berkuasa bagi memastikan ketenteraman awam dapat dikekalkan sepanjang program berlangsung.
“Kita juga nasihatkan ahli Pas supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang provokasi yang cuba ditimbulkan pihak tertentu pada hari kejadian. Kalau ada provokasi, jangan layan, sebaliknya buat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.










