KUALA LUMPUR – Seorang anggota Dewan Negara berkata, dakwaan kononnya Tabung Haji (TH) mengeluarkan hibah dengan melanggar Akta Tabung Haji 1995 sejak 2014 boleh menyebabkan pendeposit dan rakan niaga TH hilang keyakinan terhadap institusi kewangan Islam itu.
Senator Khairul Azwan Harun berkata, beliau yakin dengan laporan juruaudit luar (Ernst & Young) yang menyatakan TH boleh membayar dividen dan tidak melanggar sebarang klausa mahupun akta itu.
“Malah, ia juga telah disahkan oleh Ketua Audit Negara menerusi laporan audit yang dibentangkan di Parlimen, maka tidak timbul soal Tabung Haji melanggar mana-mana klausa perundangan pada waktu itu dan kononnya telah membayar dividen secara tidak sah.
“Kalau hari ini, ada juruaudit baharu yang membuat pengiraan, kita perlu tanya sama ada pengiraan aset itu dilakukan berdasarkan harga semasa kerana laporan yang dibentangkan di Parlimen untuk tempoh itu memang menyatakan bahawa kedudukan kewangan dan aset semasa pada waktu itu jauh lebih tinggi daripada jumlah liabiliti, maka mereka boleh membayar dividen,” katanya.
Khairul Azwan berkata demikian kepada pemberita selepas membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Negara, hari ini, yang beliau turut membangkitkan perkara itu dalam perbahasannya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, pengurusan TH sebelum ini telah melanggar Akta Tabung Haji 1995 yang menyatakan dua syarat perlu dipenuhi sebelum pembayaran hibah boleh dibuat iaitu aset tidak boleh kurang daripada liabiliti serta perlu ada keuntungan yang boleh diagihkan.
Selain itu, TH juga didakwa melakukan beberapa transaksi untuk menunjukkan ia mencatat keuntungan bagi membolehkan pembayaran hibah kepada pendeposit, termasuk menjual dan membeli semula saham pegangannya dalam Bank Islam Malaysia Berhad. – Bernama









