GEORGE TOWN – Tindakan nekad seorang lelaki warga Nepal yang mengunjungi rumah rakan wanitanya yang juga tunangan orang pada waktu subuh membawa padah apabila dia ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Mayang Pasir di sini sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 5.20 pagi itu, mayat mangsa dikenali Bot Sandip, 24, yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Bukit Jambul di sini ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan darah pada muka.
Difahamkan, mangsa telah datang ke rumah wanita tempatan itu yang bekerja sebagai jurujual di pasar raya yang sama pada pukul 2.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan berkata, sekitar pukul 5 pagi, seorang lelaki yang juga tunang kepada wanita itu telah datang ke rumah berkenaan menyebabkan mangsa cuba melarikan diri.
“Terkejut dengan kehadiran tunang wanita itu, mangsa bertindak melarikan diri ke arah dapur belakang rumah sebelum membuka pintu sliding dapur yang tidak berjeriji.
“Bagaimanapun, lelaki itu dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dari tingkat empat kediaman berkenaan,” katanya di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










