PAC panggil Ambrin, Madinah isu dakwaan ubah laporan 1MDB - Utusan Malaysia

PAC panggil Ambrin, Madinah isu dakwaan ubah laporan 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad dan bekas Pengarah Sektor Audit Kerajaan, Saadatul Nafisah berhubung dakwaan ‘mengubah’ laporan audit 1MDB yang dibentangkan di Parlimen pada 2016.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, ketiga-tiga mereka akan dipanggil minggu ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut.

“Ambrin akan memberi keterangan kepada anggota PAC pukul 11 pagi esok dan Madinah pula akan dipanggil menjadi saksi pada 5 Disember (Rabu) manakala Nafisah daripada Jabatan Audit pula pada 6 Disember (Khamis).

“Selepas itu, kami akan kenal pasti lagi beberapa saksi untuk dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas membentangkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri kedua di Parlimen hari ini.

Pada 25 November lalu, Madinah dilaporkan mendedahkan bahawa beberapa bahagian dalam laporan audit 1MDB itu dikeluarkan atas arahan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ditanya sama ada PAC mempunyai tempoh tertentu untuk melengkapkan siasatan, Ronald berkata tiada tempoh masa ditetapkan kerana terdapat tiga kes sedang disiasat pihaknya ketika ini; dana bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai kira-kira RM18 bilion, projek marina awam dan siasatan semula isu 1MDB. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN