KANGAR 14 Dis. – Cadangan kerajaan negeri untuk memperkenalkan cukai ke atas para pelancong yang menggunakan Kuala Perlis untuk ke pulau peranginan Langkawi, Kedah, semalam, dibantah orang ramai kerana akan membebankan golongan itu.
Menurut mereka, langkah itu bukanlah sesuatu yang bijak kerana turut akan menjejaskan kedatangan pelancong ke negeri berkenaan sekali gus mengurangkan pendapatan kerajaan negeri dan penduduk setempat.
Anggota tentera, Mohd. Najmi Ahmad, 35, ketika ditemui berkata, sekiranya langkah mengenakan cukai itu diperkenalkan, maka jumlah pelancong ke negeri ini sudah tentu akan berkurangan.

“Ini akan mengurangkan keistimewaan Kuala Perlis itu sendiri. Oleh itu, orang ramai mungkin akan menggunakan jeti Kuala Kedah untuk ke Langkawi kerana cukai seperti ini tidak dikenakan kepada pelancong,” katanya yang berasal dari Baling, Kedah.
Semalam, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, kerajaan negeri sedang meneliti untuk memperkenalkan cukai ke atas para pelancong yang menggunakan Kuala Perlis untuk ke Langkawi sebagai sumber pendapatan baharu.
Seorang suri rumah, Shakira Ahmad, 48, pula berkata, langkah mengenakan cukai kepada para pelancong disifatkan sebagai membebankan apatah lagi bagi mereka yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai.
“Sudahlah harga tiket feri, nanti kami terpaksa mengeluarkan tambahan hampir RM10 lagi untuk bercuti,” katanya.
Penduduk tempatan, Siti Sofiah Yahya, 39, pula berkata, dia bersetuju untuk dikenakan cukai pelancong sekiranya kerajaan dapat mengawal kenaikan pelbagai harga perkhidmatan di pulau bebas cukai berkenaan semasa musim cuti sekolah.
“Bayangkan dengan kenaikan harga semua kereta sewa (di Langkawi) dan hotel ketika ini, orang ramai akan dikenakan cukai (pelancong) lagi, tentulah ini akan membebankan,” katanya.
Dalam pada itu, pekerja swasta, Amirul Ashraf Amir Roslan, 22, yang berasal dari Kuala Lumpur mencadangkan agar kerajaan negeri meningkatkan kutipan cukai daripada sumber lain seperti pengusaha feri dan kawasan meletak kenderaan.
“Ini kerana golongan ini meraih pendapatan yang tinggi menjelang musim cuti sekolah berbanding pelancong tempatan yang sudah terbeban dengan kos untuk pergi melancong,” ujarnya.











