Orang Asli cemas kejadian banjir lumpur - Utusan Malaysia

Orang Asli cemas kejadian banjir lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Lebih 500 penduduk Orang Asli di Kampung Jedip, Pos Brooke di sini cemas setiap kali musim tengkujuh kerana kerap berdepan kejadian banjir lumpur yang berpunca daripada hakisan bukit berhampiran kediaman mereka.

Kejadian terbaharu berlaku pukul 8 malam kelmarin apabila hujan lebat menyebabkan air dari bukit yang digondol untuk kebun tanaman sayur itu telah melimpah turun.

Air lumpur itu turut mengalir ke permukaan jalan raya sehingga menjejaskan pergerakan pengguna Jalan Gua Musang-Lojing.

Penghulu Brooke Lama, Rian Bujang berkata, kejadian banjir lumpur yang berpunca daripada bukit digondol oleh pengusaha kebun sayur itu bukanlah perkara baharu yang dihadapi penduduk Orang Asli di kampung terbabit.

Katanya, sepanjang tahun ini sahaja lebih lima kali berlaku banjir lumpur terutama apabila hujan lebat.

“Jalan raya di kampung itu ditenggelami air  banjir lumpur dan menghalang penduduk Orang Asli yang menggunakan motosikal untuk ke bandar Gua Musang.
 
“Kita sentiasa bersiap sedia untuk berpindah jika keadaan membahayakan keselamatan penghuni rumah Orang Asli,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli Kampung Jedip, Edi Shariff, 34, berkata, kedudukan bukit digondol itu hanya terletak kira-kira 100 meter dari kediaman penduduk.

Katanya, sebelum ini sudah beberapa kali  bantahan dibuat kepada kerajaan negeri dan pengusaha kebun, namun tidak pernah dihiraukan.

“Kita bimbang jika hujan lebat waktu malam menyebabkan hakisan bukit dan air lumpur turun secara tiba-tiba lalu menimpa rumah penduduk,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN