November catat aliran keluar RM718.9j - Utusan Malaysia

November catat aliran keluar RM718.9j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Aliran keluar bersih asing pada November merekodkan sebanyak RM718.9 juta, hampir separuh daripada RM1.42 bilion yang dicatatkan pada Oktober.

Menurut laporan aliran dana MIDF Research, jumlah tersebut menjadikan aliran keluar a­sing sepanjang tahun sebanyak RM10.67 bilion atau AS$2.64 bi­lion, berbanding dua rakan ASEAN iaitu Thailand dan Indonesia yang merekodkan jumlah aliran keluar tahunan yang lebih besar daripada AS$3 bilion (RM12.52 bi­lion).

MIDF berkata, indeks FBM KLCI minggu lalu mencatatkan kerugian untuk tempoh empat minggu berturut-turut yang menyaksikan ia ditutup 0.94 peratus lebih rendah pada Jumaat dengan kadar 1,680 mata.

Berdasarkan data daripada Bursa Malaysia katanya, dana asing yang dijual berjumlah RM244.5 juta minggu lalu meru­pakan yang tertinggi dalam tempoh lima minggu dan jumlah itu hampir lima kali daripada jumlah yang dikeluarkan pada minggu sebelumnya.

“Pelabur antarabangsa memulakan sesi dagangan pada Isnin dengan RM65.2 juta bersih, memperluaskan belian bersih asing dari minggu sebelumnya sehingga tiga hari dengan ba­nyak keyakinan datang daripada perbelanjaan Black Friday Wall Street yang melonjak selain penstabilan harga minyak mentah Brent yang mencapai AS$60 (RM251) setong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, ujar MIDF, terdapat pengeluaran dana a­sing pada Selasa apabila para pelabur antarabangsa membawa keluar sejumlah RM277.1 juta, yang terbesar dalam tempoh sehari sejak awal November tahun ini.

Katanya, ia juga menyaksikan penurunan harian terbesar FBM KLCI sejak 23 Oktober 2018.

“Sentimen pelabur dipe­ngaruhi oleh keputusan Pre­siden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memperluaskan tarif dagangan ke atas barangan import China selain daripada pertikaian undang-undang an­tara Genting Malaysia Bhd. dengan Walt Disney dan Twenty-First Century Fox Inc.,” katanya.

Seterusnya, tahap penjualan bersih asing menyusut ke RM32.7 juta pada Rabu sebelum melihat aliran masuk bersih sebanyak AS$84.5 juta (RM352.85 juta) pada Khamis.

“Walau bagaimanapun, pembelian asing pada Khamis itu telah terhapus oleh harga jualan Jumaat pada RM84.8 juta ketika para pelabur keluar daripada pasaran, menjelang pertemuan yang sangat dinantikan antara Beijing dan Washington di Buenos Aires,” katanya.

Sementara itu, laporan bulanan FTSE Russel menunjukkan Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri Oktober dengan prestasi negatif, turun 4.68 peratus, walaupun mengatasi FBM Emas sebanyak 1.41 peratus.

Katanya, FBM KLCI menca­tatkan penurunan prestasi pada kadar 4.87 peratus tahun ke tahun dengan prestasi turun naik 10.90 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Dalam segmen saiz pasaran Malaysia, syarikat-syarikat modal besar mencatatkan prestasi terbaik biarpun FBM KLCI turun 4.68 peratus, diikuti oleh syarikat Fledgling yang merekodkan penurunan 6.48 peratus pada bulan Oktober,” katanya.

FBM KLCI merangkumi syarikat terbesar dengan permodalan pasaran penuh dalam Indeks EMAS FTSE Bursa Malaysia. Indeks tersebut adalah apungan bebas indeks wajaran permodalan pasaran yang dise­laraskan mewakili prestasi syarikat saham mewah terbesar di Malaysia, yang melepasi saiz, apungan bebas dan kecairan.

Public Bank muncul syarikat utama dalam senarai 10 teratas diikuti Tenaga Nasional Berhad, Maybank, CIMB Group dan Pe­tronas Chemical Group.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN