Muhammad Adib meninggal dunia - Utusan Malaysia

Muhammad Adib meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 9.41 malam ini selepas tiga minggu mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Berita sedih tersebut disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dalam satu sidang akhbar ringkas.

“Jenazahnya akan diuruskan di sini (Institut Jantung Negara) dan dibawa ke Balai Bomba Hang Tuah pada pagi esok untuk penghormatan terakhir.

“Kemudian jenazahnya akan diterbangkan dengan helikopter ke kampung halamannya di di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dan dijangka akan dikebumikan selepas solat zuhur,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar tadi.

Tambahnya, terdahulu keluarga mangsa rusuhan kuil Sri Maha Mariamman itu telah dimaklumkan dengan keadaan Muhammad Adib yang semakin merosot dan telah diberi kaunseling bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Pada 11 Disember lalu, IJN memaklumkan Muhammad Adib tidak lagi memerlukan mesin ECMO untuk membantu pernafasannya.

Selain itu, pasukan doktor di IJN juga mengalihkan mesin sokongan jantung selepas jantungnya boleh berfungsi de­ngan sendiri pada awal bulan ini.

Muhammad Adib cedera parah dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya dekat sini, 27 November lalu. Beliau sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 23 Disember ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN