LONDON – Pelumba Itali, Franco Morbidelli mengakui teruja dengan aksi pramusim pertamanya bersama pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing dan berharap dapat menguji peralatan baharu pasukan itu di Litar Antarabangsa Sepang pada Februari nanti.
Morbidelli yang dinobatkan pelumba baharu terbaik pada musim 2018 menjelaskan, tugasnya untuk memahami jentera Yamaha ketika ini masih belum sempurna meskipun mempamerkan petanda positif ketika menguji jentera YZR-M1 tersebut di litar Jerez dan Valencia.
Justeru, pelumba berusia 24 tahun itu berharap ujian pramusim terakhir di Sepang nanti akan memberinya peluang menguji penyelarasan baharu, sekali gus mampu meletakkan objektif terbaik terhadap keupayaan jentera berkenaan.
“Bagi saya terlalu awal untuk meletakkan objektif ketika di Jerez dan Valencia kerana kami perlu menunggu ujian seterusnya pada Februari nanti. Kami harap dapat menguji peralatan baharu untuk mendapatkan data yang terbaik.
“Kami masih perlukan beberapa ujian untuk memastikan saya selesa dan memahami kekuatan jentera ini, terutamanya dalam mengubah gaya tunggangan saya. Bagi saya ini adalah proses biasa dan perkara utama yang perlu dilakukan ialah saya perlu mencatat masa terpantas,” kata Morbidelli.
Dalam pada itu, pelumba kelahiran Itali tersebut tidak menyangka dia mampu berada dalam kelompok teratas meskipun kali pertama menguji jentera M1.
“Bagi saya Yamaha adalah jentera yang mudah untuk dikendalikan terutama ketika mengujinya pada tahap maksimum. Ketika saya memecut, keadaan jentera sangat stabil dan saya lebih yakin ketika mengambil selekoh.
“Ini baharu permulaan dan saya harap dapat menemui penyelarasan terbaik bersama pasukan. Saya akui tidak sabar untuk berada di Sepang bersama pasukan serta peminat di Malaysia,” ujarnya. – Agensi











