Mengaktifkan peranan AIM - Utusan Malaysia

Mengaktifkan peranan AIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA skim pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) hendak ditarik balik, ramai yang melihat usaha ke arah membantu golongan miskin terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar akan terbantut. Sebenarnya skim ini tidak ditarik balik, tetapi akan dilakukan pembatalan sijil Pemerdananan AIM kerana tidak memenuhi syarat-syarat Suratcara Ikatan Amanah terutama dalam penubuhan anak-anak syarikat memandangkan penubuhan anak syarikat tidak dibenarkan.

AIM ditubuhkan pada 1987 dengan objektifnya untuk mengurangkan kemiskinan di Malaysia menerusi pengeluaran pembiayaan ikhtiar kepada penduduk miskin dan golongan wanita di kawasan luar bandar. AIM bertujuan membiayai kegiatan-kegiatan ekonomi kecil-kecilan bagi menambahkan pendapatan penduduk miskin luar bandar.

Maka tidak hairanlah ramai penduduk luar bandar yang memohon dan memperoleh pembiayaan dan menjadi ahli AIM sejak hujung 1980-an sampai kini. Ada yang berjaya menjadi usahawan dengan hanya berdasarkan pembiayaan asas sebanyak RM500 dan ada yang memperoleh lebih daripada jumlah tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, syarat-syarat memperoleh pembiayaan AIM sangat ketat disertai pemantauan secara berterusan oleh pegawai AIM yang ditugaskan. Sekarang, pembiayaan AIM melibatkan lebih kurang 379,824 peminjam yang juga dikenali sebagai Sahabat AIM. Ini menunjukkan kejayaan AIM membantu kerajaan dalam memperkasa sosioekonomi isi rumah berpendapatan rendah serta mengurangkan kemiskinan,

Malah, jika dilihat dari segi keupayaan membayar balik pembiayaan, sebanyak 98.26 peratus berjaya berbuat demikian dan ini memperlihatkan bahawa AIM sudah berjaya membantu meringankan bebanan ekonomi penduduk miskin terutamanya di luar bandar.

Kita sudah tentunya berharap AIM akan berjaya melipatgandakan kejayaan Sahabat AIM dari semasa ke semasa, daripada melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi secara kecil-kecilan kepada skala yang lebih besar. Jika bermula dengan berniaga lima ekor ayam sehari, lama-kelamaan mampu menjual lima belas, lima puluh dan lebih daripada itu daripada kedai runcit yang hanya menjual keperluan dapur secara ala kadar, berkembang menjadi sebuah pasar mini di kampung.

Oleh yang demikian, pemantauan secara berterusan oleh pegawai-pegawai AIM sangat penting untuk memastikan kejayaan AIM. Penambahbaikan pengurusan dari semasa ke semasa dan keprihatinan dalam kalangan Sabahat AIM sangat penting untuk memastikan AIM terus membantu meluaskan ekonomi dan taraf hidup golongan miskin terutamanya wanita di luar bandar.

Terdapat empat jenis pembiayaan mikro yang diperkenalkan oleh AIM iaitu i-Rezeki, i-Bistari, i-Sejahtera dan i-Penyayang. i-Rezeki untuk menjalankan perniagaan mikro. i-Bistari untuk pembiayaan pendidikan untuk ahli. i-Sejahtera untuk pinjaman sosial yang menjaga kebajikan peserta pada masa depan.

i-Penyayang merupakan satu bentuk pinjaman untuk mengatasi masalah pinjaman tidak berbayar. Ini memperlihatkan bahawa setiap jenis pembiayaan mempunyai peranan tertentu bagi mengatasi masalah kewangan peserta. Paling penting, AIM perlu memastikan usaha membantu golongan miskin di kawasan-kawasan luar bandar diteruskan dengan matlamat membebaskan ramai lagi masyarakat desa yang berada di garis kemiskinan.

Tidak ketinggalan, AIM banyak membantu masyarakat desa mempelbagaikan kegiatan ekonomi mereka yang bukan hanya tertumpu kepada pengeluar bahan mentah tetapi boleh memperkembangkan pelbagai jenis industri hiliran berasaskan pertanian. AIM juga menggalak masyarakat desa memperkukuh jalinan kerjasama, ketelitian, ketekunan dan menambah kepelbagaian ilmu dalam pelbagai aspek.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini