Memasak bukan kewajiban isteri? - Utusan Malaysia

Memasak bukan kewajiban isteri?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘ALLAH menjelaskan dalam al-Quran secara umum tentang hak dan kewajiban isteri. Perempuan mempunyai hak sebagaimana dia memiliki kewajiban yang bersesuaian dengan uruf.”

“Uruf biasanya dikaitkan dengan tradisi atau kebiasaan sesebuah masyarakat sesuai keadaan mereka? Memang ada sebahagian ulama fikah dalam kitabnya menjelaskan bahawa tidak termasuk kewajiban si isteri untuk memasak buat suaminya, mencuci pakaian suaminya serta membersihkan rumah suaminya.

“Maka apa kewajiban si isteri? Cukup sekadar di ranjang? Perkara seperti itu ada disebutkan dalam kitab fikah tersebut. Adakah itu sahaja kewajibannya? Namun ini satu pendapat yang sangat lemah,” kata penceramah terkemuka, Dr. Syafiq Riza Basalamah dalam satu sesi soal jawab bersama hadirin dalam majlis tazkirah yang dimuat naik dalam laman sosial.

Pendakwah kelulusan Universiti Islam Madinah itu berkata, perkara itu bertentangan dengan praktikal atau amalan Rasulullah dan para sahabat.

Jelasnya, puteri Nabi Muhammad SAW iaitu Saidatina Fatimah pernah datang ke rumah Nabi untuk mengadu kepada Baginda kerana tangannya menjadi kasar akibat teruk membuat kerja rumah.

Fatimah terpaksa menumbuk gandum sendiri dengan menggunakan dua batu yang disusun dan diputar.

Disebabkan itu, tangan Fatimah menjadi kasar. Lalu Fatimah ke rumah Rasulullah untuk meminta seorang pembantu yang boleh membantunya melaksanakan urusan kerja rumah.

Fatimah terpaksa meminta pembantu daripada Nabi kerana suaminya, Saidina Ali bin Abi Talib seorang yang miskin dan tidak mempunyai harta.

Sebab itu Fatimah ke rumah Nabi, namun dia gagal menemukan Baginda tetapi sekadar bertemu dengan isteri Rasulullah, Saidatina Aisyah.

Aisyah menyatakan kepada Fatimah, sekiranya Rasulullah pulang ke rumah, dia akan memberitahu perkara itu.

Maka pada sebelah malam, Rasulullah balik ke rumah dan Aisyah memberitahu perkara tersebut. Baginda kemudiannya berkunjung ke rumah Fatimah yang terletak hanya bersebelahan.

Semasa Rasulullah tiba di rumah Ali dan Fatimah, kedua-duanya sedang tidur. Ketika Baginda masuk ke rumah mereka, kedua-duanya mahu bangun dari tempat tidur bagi menghormati Rasulullah yang juga bapa dan mentua.

Namun, Rasulullah meminta keduanya tidak berganjak dari tempat tidur, sebaliknya Baginda mengambil tempat di tengah-tengah mereka berdua.

Baginda kemudiannya menyatakan kepada keduanya bahawa terdapat satu amalan yang jauh lebih baik daripada mereka mengambil pembantu rumah.

Amalan itu adalah membaca Subhanallah dan Alhamdulillah sebanyak 33 kali beserta Allahu Akbar (34 kali). Amalan tersebut adalah jauh lebih baik daripada mengambil pembantu rumah.

“Di sini kita lihat, Nabi tidak menyatakan kepada Fatimah bahawa bukan kewajiban dia untuk memasak buat Ali. Biarpun Fatimah ialah puteri Baginda sendiri.

“Kalau memasak itu sememangnya bukan kewajiban, Baginda pasti akan mengatakan kepada Fatimah, ‘tidak usah kamu memasak kepada Ali dan biarkan Ali memasaknya sendiri’. Tetapi tidak mungkin si suami sempat memasak (dengan kesibukan tugasan harian), malah Rasulullah juga tidak mengatakan hal seumpama itu.

“Malah, kita juga mengetahui bahawa Aisyah memasak untuk Rasulullah. Tetapi Rasulullah dan para suami mempunyai kewajiban membantu isteri-isteri mereka. Maka jika dikatakan tidak wajib memasak buat si suami, maka ini pendapat yang lemah,” katanya.

Malah Asma’ Binti Abu Bakar juga pernah membantu suaminya mengumpul makanan buat ternakan mereka. Beliau bertemu Nabi di tepi jalan, Baginda tidak mengatakan kepada Asma’ bahawa itu bukan kewajiban buatnya atau biarkan Zubair melakukannya sendiri.

“Bererti Nabi sendiri membiarkan Asma’ membantu suaminya dan perkara ini termasuk dalam sunah taqririyyah (perlakuan sahabat yang didiamkan oleh Rasulullah) iaitu menjadi kelaziman buat si isteri untuk membantu.

“Maka bukan tugas si isteri sekadar melayani serta melaksanakan tugas atau urusan di bilik tidur, tetapi turut membantu si suami di dalam tanggungjawab seharian,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN