Melancong terapi positifkan diri - Utusan Malaysia

Melancong terapi positifkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERCUTIAN pertama kali ke Kashmir, India membuatkan gadis kecil molek berusia 24 tahun ini terpesona dengan keindahan lokasi yang terkenal dengan jolokan serpihan syurga di bumi itu.

Semenjak itu, Nurul Adila Rahized, siswazah jurusan seni bina di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak itu mula kerap melancong ke serata dunia melihat keindahan alam.

Katanya, mengembara ke serata dunia mengajarnya supaya lebih positif dan berfikiran terbuka.

“Bila kita melancong ke negara orang, pasti ada masalah yang akan dihadapi seperti pengangkutan, tempat tinggal dan sebagainya, namun pasti dapat diatasi.

“Itu yang menjadi inspirasi kerana jika saya mampu menyelesaikan masalah ketika berada di negara asing, pasti setiap masalah dalam kehidupan juga dapat saya atasi,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman Nurul Adila berkata, dia mula menyimpan niat untuk melancong ke luar negara sejak menamatkan pengajian ijazah sarjana muda pada 2014.

Bermula dari itu dia melakukan pelbagai pekerjaan sambilan untuk mengumpul wang.

“Habis saja pengajian, saya tekad kumpul wang sebanyak RM3,000 selama enam bulan untuk percutian pertama bersama rakan-rakan ke Kashmir pada 2015.

“Duit itu saya kumpul daripada perniagaan kecil-kecilan iaitu menghasilkan sarung telefon buatan tangan yang dijual menerusi laman Instagram dan menjadi ‘promoter’ di pasar raya,” ujarnya.

Bagaikan sudah ‘ketagih’, semenjak itu gadis kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini terus-menerus ‘terbang’ ke lebih 13 buah negara.

Antaranya Australia, Vietnam, Korea, Thailand, Indonesia, Singapura, China dan Filipina.

Menariknya, pengalaman kerap bercuti dengan rakan-rakan dan ahli keluarga membuatkan Nurul Adila mengambil keputusan berani untuk melakukan pengembaraan solo ke Singapura dan Australia.

Jelas anak ketiga daripada enam beradik itu, pengembaraan solo tidak berbahaya sekiranya bijak memilih negara yang ingin dilawati dan menguruskan percutian dengan teliti.

“Sebaiknya jika mahu bercuti secara solo, pilihlah negara maju, kurang kadar jenayah dan banyakkan membuat kajian sebelum ke sana.

“Selain itu harus kentalkan mental dan fizikal supaya tidak mudah cemas jika menghadapi sebarang kesulitan ketika di sana,” katanya yang melakukan pengembaraan solo ke Perth September lalu bagi menyambut hari lahirnya.

Berbekalkan minat mendalam, Nurul Adila memulakan pekerjaan sambilan menguruskan pakej percutian ke Kashmir.

Katanya, dia memilih Kashmir kerana keindahan pemandangan gunung-ganang, penduduk yang ramah selain mempunyai keunikan budaya tersendiri.

Nurul Adila mempromosikan pakej tersebut dengan #AdelWanderlust yang dimuat naik bersama video dan gambar pelancongan menarik dihasilkannya sendiri dalam laman Instagram miliknya untuk menarik pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN