MCCF bantu usahawan PKS teroka pasaran Kepulauan Fiji - Utusan Malaysia

MCCF bantu usahawan PKS teroka pasaran Kepulauan Fiji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Dis. – MCCF Global Ventures Sdn. Bhd. di bawah kumpulan Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menganjurkan satu program penerangan kepada para usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mereka meneroka pasaran peruncitan di Kepulauan Fiji.

Program meneroka pasaran di Fiji yang disertai 50 usahawan PKS ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Morris Hedstom (MH Group) sebuah syarikat milik anak tempatan yang bertapak kukuh di Fiji yang mempunyai lebih 30 rangkaian pasaraya di negara kepulauan itu.

Pengurus Operasi MH Group, Shahrin Rosle berkata, usaha MCCF Global Ventures Sdn. Bhd. ini merupakan kesempatan terbaik bagi pengusaha tempatan untuk meneroka pasaran Fiji memandangkan pihaknya sedia memberikan bantuan dan kerjasama untuk merealisasikan hasrat tersebut.

“Sepanjang beroperasi di negara itu, kami dapati pengusaha PKS tempatan mempunyai potensi besar untuk memasuki pasaran di negara itu atas faktor kuasa beli rakyat Fiji yang agak tinggi selain permintaan tinggi ke atas produk buatan Malaysia.

“Kami di MH Group bersedia membantu asalkan produk yang dihasilkan bermutu, Pengusaha hanya perlu menyediakan produk dan segala proses untuk eksport dan lain-lain akan kami uruskan bersama MCCF Global Ventures Sdn. Bhd.,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi MCCF, Halim Ishak berkata. peluang yang terbuka luas ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha PKS tempatan.

“Sebagai pengendali sektor peruncitan terbesar di Fiji, MH Group cukup berpengalaman dan kesediaan mereka menjalin kerjasama strategik dengan MCCF Global Ventures Sdn. Bhd. memudahkan lagi segala urusan kemasukan barangan keluaran PKS tempatan ke negara itu,” ujarnya.

Program membawa usahawan PKS ke Fiji ini turut mendapat sokongan SIRIM Berhad, Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME) Malaysia.

Usahawan PKS yang berminat boleh menghubungi MCCF Global Ventures Sdn. Bhd dengan menghantar contoh produk untuk dinilai dan disenarai pendek seterusnya dipilih oleh MH Group pada Januari nanti untuk dibawa ke pasaran Fiji. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN